Showing posts with label Cabaran 50 Buku. Show all posts
Showing posts with label Cabaran 50 Buku. Show all posts

Saturday, May 28, 2011

MQ : Cabaran 50 Buku : (12) Cinta Sufi

Tajuk buku : Cinta Sufi
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21 Sdn. Bhd
Tahun Terbitan : Cetakan 1, 2 – 2010
Halaman : 509
Harga : RM19.90/ RM22.90


‘Siri Laksamana Sunan’ kali ini tidak lagi memerlukan watak Haryani dan Dani dalam pengembaraannya yang panjang. Malah watak Catalina yang lebih segar dan menawan telah memaksa Laksamana Sunan menemani wanita berdarah penjajah itu mencari Maryam di Hulu Melaka.

Angkatan Portugis kembali meneruskan perjalanan ke Hulu Melaka dengan semangat yang berkobar-kobar. Atas tujuan apa sehingga menyebabkan pejuang-pejuang tanah air berhempas pulas mempertahankan Hulu Melaka? Apa yang istimewa di Hulu Melaka?

Cinta Sufi telah berjaya mengangkat dan meninggikan serta meluaskan penggunaan 99 Asmaul Husna, bukan sahaja sebagai zikir harian, bahkan sebagai senjata yang ampuh serta indah dalam menghalang kebatilan yang nyata dan mistik.

Selain itu, penulis juga telah menggunakan pelbagai surah di dalam al-Quran sebagai senjata dalam menghalang musuh mengikut situasi pengembaraan Laksamana Sunan seperti surah al-Jin, al-Insyirah, al-Falaq dan lain-lain lagi.

Apakah Laksamana Sunan masih diberi untaian nafas setelah kejadian di Hulu Melaka? Apa yang terjadi sehingga Keris Nanggroe menjadi rebutan. Siapakah yang terakhir memiliki Keris Nanggroe? Semua misteri akan terungkai dengan karya thriller Ramlee Awang Murshid ini yang nyata tidak menghampakan.

Wednesday, May 18, 2011

MQ : Cabaran 50 Buku : (11) Hijab Sang Pencipta

 
Tajuk buku : Hijab Sang Pencinta
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd
Tahun Terbitan : Cetakan 4 – 2010
Halaman : 510
Harga : RM19.90/ RM22.90


Kesinambungan novel Cinta Sang Ratu ini masih mengekalkan Saifuddin yang lebih dikenali sebagai Laksamana Sunan sebagai tunjang penceritaan dengan dibantu oleh Dani dan Haryani.


Setelah menempuh pelbagai halangan dan rintangan dalam perjalanan pulang untuk berbakti kepada orang tua di Kampung Punggor, takdir melontarkan Laksamana Sunan ke zaman abad ke 21.


Sukar untuk mempercayai, tetapi keluarga Haryani terpaksa dan harus mempercayainya demi keselamatan Haryani yang menjadi tebusan untuk menghidupkan baka awal Manggala.


Sejarah Islam telah mencatatkan kisah Ashabul Kahfi sebagai renungan dan iktibar serta menguji keimanan manusia. Penceritaan Ramlee Awang Murshid kali ini berjaya mengadaptasikan kisah sejarah Islam ini di era moden.


Syabas diucapkan.

Thursday, April 14, 2011

MQ : Cabaran 50 Buku : (10) Cinta Sang Ratu









Tajuk : Cinta Sang Ratu

Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd
Tahun terbitan : 2010 (cetakan 8)
Halaman : 554
Harga : RM19.90/ RM22.90


Kesinambungan novel Bagaikan Puteri ini masih mengekalkan watak Laksamana Sunan sebagai tunjang utama dengan dibantu oleh Haryani dan Dani, bagi melancarkan jalan cerita yang mempertemukan dua zaman berbeza.


Novel ini sarat dengan mesej ketuhanan sedari zaman sebelum penciptaan manusia pertama Adam a.s. Keingkaran syaitan sujud kepada Nabi Adam disertai peluang yang diberi untuk menyesatkan manusia sehingga tibanya hari kiamat digunakan dengan sebaik-baiknya.


Penulis berjaya mengetengahkan unsur sihir, mistik dan kepercayaan karut segelintir masyarakat di muka bumi ini dalam penceritaan yang begitu memukau dan penuh debaran sesuai dengan gelaran novelis thriller no.1 di Malaysia.


Justeru novel ini mengingatkan manusia akan kelebihan ayat kursi, unsur ikhlas dalam kehidupan dan bertawakal kepada Allah setelah berusaha selain mengangkat tema cinta fitrah sesama manusia dalam diri seorang pejuang kebenaran yang meletakkan cintanya kepada Allah melebihi cinta kepada makhlukNya.


Membaca novel ini ada debaran, ada manis, ada cinta, ada air mata, ada ketabahan dan ada kesedihan yang dipendam. Syabas kepada penulis kerana membuatkan pembaca berfikir kembali dan merenung diri sendiri.




Friday, April 8, 2011

MQ : Cabaran 50 Buku : (9) Konvensyen Integriti Pengurusan Zakat Selangor











Tajuk buku : Konvensyen Integriti Pengurusan Zakat Selangor
Penulis : Lembaga Zakat Selangor
Penerbit : Lembaga Zakat Selangor
Tahun terbitan : 2010
Halaman : 139
Harga : Bukan Untuk Dijual.




Buku ini memuatkan tujuh (7) pembentangan yang berkisar tentang kepentingan integriti daripada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing. Skop perbincangan bukan setakat membincangkan maksud dan definasi integriti, malah integriti dibincangkan dengan lebih luas dan bijaksana.


Tajuk pembentangan adalah seperti berikut :

Pembentangan khas : Fungsi dan Tanggungjawab Pemegang Amanah.
Kertas Kerja 1 : Konsep dan Kepentingan Integriti dalam Amalan Budaya Kerja Cemerlang.

Kertas Kerja 2 : Tadbir Urus Insan (Human Governance)
Kertas Kerja 3 : Pelan Integriti Nasional (PIN) : Integriti dalam Pengurusan Zakat.

Kertas Kerja 4 : Perkaitan antara Akauntabiliti dan Hari Pembalasan.
Kertas Kerja 5 : Aplikasi Amalan Institusi Kewangan dalam Pengurusan Zakat.

Kertas Kerja 6 : Ancaman kepada Kecemerlangan Prestasi Pengurusan Zakat Selangor.


Pembentangan yang dimuatkan dalam buku ini bukan semuanya berbentuk perenggan. Lampiran slide show pembentangan juga disertakan dalam bentuk yang menarik dan mudah difahami oleh pembaca.


Pembentangan berbentuk ilmiah ini banyak diselitkan dengan petikan ayat al-Quran dan hadis sebagai hujahan dan rujukan. Pembentangan ada yang dibuat dalam Bahasa Melayu dan ada yang dibentangkan dalam Bahasa Inggeris.


Buku ini amat sesuai digunakan sebagai panduan oleh penjawat-penjawat awam dalam meningkatkan jati diri dan prestasi kerja. Juga amat sesuai digunakan salah satu bahan rujukan untuk penulisan tesis dan kertas kerja oleh mahasiswa.

Sunday, April 3, 2011

MQ: Cabaran 50 Buku : (8) Kalam Cinta daripada Tuhan










Tajuk : Kalam Cinta daripada Tuhan
Penulis : Ali Sobirin El Muannatsy
Penerbit : PTS Litera Utama Sdn Bhd
Tahun terbitan : 2009
Halaman : 478
Harga : RM26.00/ RM29.00





Novel Indonesia edisi bahasa Melayu ini memaparkan kehidupan suka duka Mahasiswa Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UIN). Mahasiswa bukan sahaja berdepan dengan cabaran dalam menyiapkan tesis, malah masalah kewangan, keluarga dan cinta juga mewarnai kehidupan mereka.

Penulis juga memaparkan pandangan peribadinya terhadap pemerintah Indonesia secara unik dan santai.  Justeru secara langsung mengingatkan kita bahawa pemerintah masih belum bijak dan kurang adil dalam menyalurkan ekonomi kepada rakyat. Jurang yang besar antara golongan kaya dengan golongan miskin sebagai buktinya.

Aspek cinta yang diangkat dalam novel ini bukanlah cinta biasa, tetapi cinta luar biasa. Iaitu cinta yang dipertemukan oleh Allah SWT dalam keadaan yang tidak disangka sama sekali oleh manusia, apabila menitikberatkan solat tahajud dan berserah serta redho kepada takdir Allah SWT apabila berdepan dengan masalah.

Unsur keagamaan sentiasa diterapkan oleh penulis sama ada secara santai atau secara langsung melalui perbincangan, ceramah atau kuliah. Antaranya kepentingan surah al-Fatihah dan Al-Haya' (malu) dalam kehidupan.

Membaca novel ini agak sukar pada mulanya kerana penulis seperti gagal menarik minat pembaca, justeru mengelirukan pembaca dengan perilaku watak yang bertentangan dengan adat kebiasaan. Pelajar perempuan bertudung kerap menumpang solat dan tidur di rumah bujang pelajar lelaki adalah antara contoh yang bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat di Malaysia.

Selain itu, cubaan penulis dalam memaparkan unsur suspen seperti tidak berjaya kerana suspen hanya berlaku kepada watak2 di dalam novel. Unsur suspen tidak sampai kepada pembaca kerana pembaca telah mengetahui dan dapat mengagak dengan jelas apa yang akan berlaku kepada watak-watak selepas ini.

Buku ini sesuai kepada pelajar dan mereka yang ingin mendalami selok belok dan budaya pelajar serta masyarakat Indonesia amnya.


Friday, April 1, 2011

MQ : Cabaran 50 Buku : (7) Sinergi










Tajuk : Sinergi
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Tahun terbitan : 2010
Halaman : 500
Harga : RM23.00/ RM25.00



Novel islamik ini menceritakan tentang bahagianya ukhuwah yang terbina antara sahabat apabila ukhuwah dibina berpaksikan keimanan kepada Allah SWT.


Penulis banyak membicarakan tentang iman dan taqwa yang sentiasa di anggap sebagai sesuatu yang remeh oleh masyarakat. Teori yang dibawa dan mesej yang disampaikan memberi kefahaman kepada pembaca erti dan nilai sebenar iman dan taqwa dalam kehidupan sebagai hamba Allah SWT.


Selain itu, penulis memaparkan suasana pembelajaran masyarakat Melayu di Jordan, cara kehidupan mereka, kegiatan persatuan, makanan dan minuman serta aktiviti seharian pelajar-pelajar Malaysia di sana.


Apakah maksud sinergi dan teori 1 + 1 = 3 yang dibawa oleh penulis? Buku ini ada jawapan dan huraiannya yang disampaikan secara istimewa melalui hubungan persahabatan antara Rasyid Zakwan dan Irfan Hakimi.


Buku ini amat sesuai untuk pembacaan semua peringkat umur tidak kira pelajar sekolah, pelajar IPT, remaja dan juga ibu bapa.

Thursday, March 10, 2011

MQ : Cabaran 50 Buku : (6) Suami Isteri Paling Bahagia












Tajuk : Suami Isteri Paling Bahagia
Penulis : Rosline Harun
Penerbit : Kharisma Network Sdn. Bhd.
Tahun Terbitan : Mac 2009
Halaman : 339
Harga : RM33.90/ RM35.90




Buku ini amat sesuai sebagai bahan bacaan khususnya oleh suami dan isteri yang mahukan panduan dalam melayari kehidupan berkeluarga yang lebih bahagia dan diredhoi Allah SWT.


Secara umumnya buku ini amat menarik dengan grafik dan setiap perbincangan diselitkan dengan ayat al-Quran, Hadis dan kisah-kisah tauladan.


Namun begitu, kandungan buku ini ditampilkan terlalu ilmiah seperti kertas kerja atau tesis. Dalam erti kata yang lain seperti buku teks atau buku-buku yang menjadi rujukan para pelajar di universiti.


Ketiadaan 'Isi Kandungan' di bahagian hadapan turut menyukarkan pembaca untuk merujuk semula atau untuk mendapat gambaran ringkas mengenai kandungan buku ini.


Sewajarnya pendekatan yang lebih mesra pembaca digunakan seperti mentransformasikan teks kepada bentuk gambar rajah, carta, peta minda dan jadual supaya lebih berkesan dan mudah difahami.


Buku ini sesuai dijadikan sebagai hadiah kepada suami, isteri dan kepada pengantin baru.

MQ : Cabaran 50 Buku : (5) Indahnya Hidup Bersyariat








Tajuk : Indahnya Hidup Bersyariat
Penulis : Dato' Ismail Kamus & Mohd. Azrul Azlen Ab. Hamid
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
Tahun Terbitan : Mac 2009
Halaman : 308
Harga : RM55.00/ RM57.00



Buku ini merupakan panduan Fardu Ain lengkap bergambar untuk diri sendiri, seisi keluarga, masyarakat dan umat sejagat. Semua perbincangan di dalam buku ini adalah bersumberkan al-Quran dan al-Hadis.


Buku ini mengandungi 7 bab perbincangan iaitu syariat ketika kelahiran, pendidikan awal kanak-kanak, syariat berkaitan remaja, fardu ain asas, munakahat (hukum perkahwinan), syariat dalam bermasyarakat dan syariat sunat harian sepanjang masa seperti amalan zikir, doa dan adab.


Menggunakan gaya bahasa yang mudah dan pelbagai gambar untuk mudah difahami, buku ini tambah menarik dengan persembahan yang berwarna warni dalam bentuk carta, jadual, peta minda, rajah dan disampaikan mengikut turutan (step by step) supaya mudah diamalkan.


Berkulit tebal (keras) dan halaman daripada material berkualiti, buku ini amat sesuai dijadikan koleksi selain dijadikan sebagai hadiah kepada bos, kakitangan, suami, isteri, anak, ibu bapa, guru dan murid. Juga amat sesuai dijadikan sebagai hadiah sambutan hari lahir dan hari perkahwinan.


Ini merupakan buku Fardu Ain pertama yang berwarna warni yang terdapat di pasaran. Buku ini amat patut atau WAJIB berada dalam sebuah keluarga Islam sebagai panduan dalam kehidupan menuju akhirat yang kekal abadi.

MQ : Cabaran 50 Buku : (4) Cogito Allah Sum!












Tajuk : Cogito Allah Sum!
Penulis : Lalu Mohammad Zaenudin
Penerbit : Global Aksara Communication
Tahun Terbitan : Ogos 2008
Halaman : 216
Harga : RM22.90/ RM24.90



Sebuah novel yang lain daripada yang lain. Cerita yang ringkas tetapi padat dengan ilmu secara santai. Dengan kata-kata "Semakin Aku Berfikir Ternyata Allah Semakin Ada..." penulis membuatkan pembaca berfikir lebih luas daripada lingkup biasa (out of the box) dan berfikir apa yang orang biasa tidak fikir.


Penulis membawa pembaca menyelusuri kehidupan anak seorang alim yang cuba lari dari tuhannya selepas menjejakkan kaki ke univeristi. Cuba menidakkan bahawa Allah itu ada.


Dengan keistimewaan dan kelebihan yang ada pada dirinya, Rayyan menghidupkan kembali suatu ajaran iaitu hidup tanpa tuhan. Namun hidup tanpa tuhan tidak seindah yang disangkakan. Kejadian demi kejadian yang berlaku membuat Rayyan berfikir semula dan belajar dari mula.


Apa yang membuatkan Rayyan berubah daripada didikan oleh bapanya sedari kecil kepada hidup tanpa tuhan? Kejadian apa yang membuatkan orang seperti Rayyan sanggup membuang egonya demi kehidupan bertuhan? Novel ini ada jawapannya dan jawapan-jawapan kepada persoalan yang lain.


Tidak cukup membaca novel ini hanya sekali. Novel ini perlu dibaca semula atau dibaca berkali-kali untuk menanda dan mengambil khazanah-khazanah ilmu yang boleh digunakan sebagai prinsip dan motivasi dalam meneruskan kehidupan seharian secara bertuhan. Syabas kepada penulis!!!

MQ : Cabaran 50 Buku : (3) Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul










Tajuk : Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul
Penulis : Fatimah Syarha Mohd Noordin
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
Tahun Terbitan : Mac 2009
Halaman : 88
Harga : RM12.00/ RM14.00


Sebuah bingkisan istimewa dari penulis sebagai panduan Membina Mahligai Kasih Idaman buat adik-adik remaja, bakal pengantin baru (bertunang), pengantin baru, suami, isteri dan ibu bapa.



Selain kisah menarik di antara Qani'ah dan suaminya Dr. Muslih, buku ini diselitkan dengan beberapa peringatan kepada pembaca seperti bahaya cinta sebelum kahwin, kewajipan seorang muslim dan pantang larang dalam hubungan suami isteri.



Tidak ketinggalan juga tips-tips seperti tips menepis cinta remaja dan tips memiliki syurga dunia di alam rumahtangga selain kisah tauladan buat renungan pembaca.



Penulis juga selang-selikan penceritaannya dengan doa, sajak dan petikan ayat daripada al-Quran dan al-Hadis, menjadikan buku ini begitu istimewa dan bermakna.



Buku ini sesuai juga dijadikan sebagai hadiah kepada anak-anak, adik-adik, kawan-kawan, bakal pengantin, suami dan juga isteri.

MQ : Cabaran 50 Buku : (2) Bila Tuhan Berbicara










Tajuk : Bila Tuhan Berbicara
Penulis : Faisal Tehrani
Penerbit : Ameen Kreatif
Tahun Terbitan : 2007
Halaman : 374
Harga : RM21.90 (M)/ S$15.90 (Singapura/ Brunai)


Ini bukan novel biasa tetapi sebuah novel drama. Membacanya seolah-olah sedang melihat pementasan teater. Ya, betul. Pementasan teater. Kerana watak-wataknya seringkali berbicara dengan penonton ditambah pula efek lampu dan bunyi.


Membacanya ada humor dan ilmu dunia serta ilmu akhirat. Seimbang dan saling melengkapi. Tiga manusia berbeza latar belakang dan berbeza masalah tetapi sama-sama terperangkap.


Mereka berdepan dengan isu letusan gunung berapi, kebangkitan semula, utusan terpilih, penyakit kusta dan pelbagai isu lain yang tidak terjangkau dek akal manusia. Seolah-olah kisah ashabul kahfi dalam versi moden!!


Bagaimana sebuah drama menjadi novel drama? Bukan adaptasi, tetapi ini betul-betul seperti skrip drama yang dijadikan novel. Dapatkan novel drama ini untuk merasai dan menghayatinya.

Wednesday, March 9, 2011

MQ : Cabaran 50 Buku : (1) Bidadari-Bidadari Syurga












Tajuk : Bidadari-Bidadari Syurga
Penulis : Tere-Liye
Penerbit : PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Tahun terbitan : 2009
Halaman :388
Harga : RM25.00/ RM28.00




Novel dari Indonesia ini memaparkan kisah kehidupan suka dan duka masyarakat kampung pedalaman di Indonesia. Watak utamanya tidak cantik dan tidak sempurna seperti gambaran watak utama dalam novel-novel yang terdapat di pasaran.


Novel ini mengisahkan pengorbanan seorang kakak demi kelangsungan pembelajaran adik-adiknya. Kakak yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk nyawa demi janji yang dipegang.


Penulis berjaya mengetengahkan pelbagai isu, antaranya menunaikan janji, ego lelaki, anak dara tua, langkah bendul, dan kerukunan kehidupan masyarakat Indonesia di Lembah Lahambay.


Selain itu, pembaca juga dapat membongkar dan menghayati pengorbanan dan perasaan seorang kakak serta penghargaan oleh adik-adiknya dengan baik hasil garapan dan gaya bahasa penulis.


Latar lokasi yang digambarkan penulis membuatkan pembaca ingin sekali terbang ke Lembah Lahambay menyaksikan sendiri keindahan dan kedamaian desa.


Edisi Bahasa Melayu ini masih mengekalkan banyak perkataan indonesia yang membuatkan pembaca berasa dekat dengan kehidupan masyarakat ini.


Membaca novel ini ada air mata dan gelak tawa. Seimbang dari mula hingga akhir. Syabas!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Design By Nurul Aini | For ~~ 2013 ©| Resolution: 1366 x 768px | Best View: Google Chrome