Wednesday, December 26, 2012

Hadith pilihan ibu bapa, jiran, anak, suami, isteri, gadis

Berikut kompilasi hadith pilihan untuk renungan bersama:


  • Berbakti Kepada Ibu Bapa Adalah Segala-segalanya

Dan daripada Abdullah bin ‘Amru al-‘As katanya, “Seorang lelaki mengadap Rasulullah lalu berkata, “Aku mengikat janji dengan engkau untuk turut serta berhijrah dan berjuang (jihad) untuk menuntut ganjaran pahala daripada Allah Taala”, Rasulullah bertanya, “Adakah salah seorang orang tuamu masih hidup?”,jawabnya, “Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup”. Rasulullah bertanya lagi, “Engkau mahukah menuntut pahala daripada Allah Taala?” Jawabnya, “Ya”. Kata Rasulullah, “Pulanglah kepada kedua-dua ibu bapamu dan berbuat baiklah (berbaktilah) kepada kedua-duanya”.

  • Pengorbanan Ibu Bapa Tidak Ternilai
Daripada Abu Hurairah RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Tidak terbalas jasa seorang anak terhadap orang tuanya melainkan apabila dia mendapati orang tuanya menjadi hamba, lalu dibeli dan dimerdekakannya”. 

  • 3 Perkara Yang Disukai Allah
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud RA katanya, “Aku bertanya kepada nabi SAW, apakah amalan yang paling Allah suka?” Jawab Nabi SAW, “Mengerjakan sembahyang dalam waktunya”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawabnya, berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?” Jawabnya, “Jihad untuk menegakkan agama Allah”.

  • Hubungan Silaturahim Sebenarnya
Daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As daripada Nabi SAW sabdanya, “Bukanlah penghubung orang yang hanya menghubung atau mengeratkan hubungan orang yang sedia menghubunginya sahaja, tetapi yang dikatakan penghubung ialah orang yang mengeratkan hubungan silaturahim yang telah terputus”.

  • Silaturahim Memanjangkan Umur dan Murah Rezeki
Daripada Anas RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang suka diluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan silaturahim”.

  • Orang Yang Memakan Debu Panas
Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku mempunyai kaum kerabat yang aku eratkan hubunganku dengan mereka tetapi mereka memutuskan, dan aku berbuat baik dengan mereka tetapi mereka membuat jahat kepadaku, aku berlemah lembut dengan mereka tetapi melakukan kekasaran terhadap aku”. Maka jawab Rasulullah, “Jika benarlah apa yang engkau katakan itu maka seolah-oleh engkau memberi makan abu panas (mereka melakukan dosa besar) dan Allah sentiasa bersama engkau memberi pertolongan selagi kamu mengekalkan sifat-sifat kamu”.

  • Sebaik-baik Sahabat dan Jiran
Daripada ‘Abdullah R.huma katanya, sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik sahabat disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan sahabatnya dan sebaik-baik jiran disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan jiran tetanggannya”.

  • Eratkan Hubungan Silaturahim Sesama Jiran
Daripada ‘Aisyah R.Ha katanya, “Aku bertanya, wahai Rasulullah SAW, “Aku mempunyai dua jiran tetangga yang berdekatan maka yang mana satukah boleh aku berikannya hadiah?“ Jawab Rasulullah, “Berikan (hadiah itu) kepada jiran yang paling dekat pintu rumahmu”.

  • Berkata Baik Atau Lebih Baik Diam
Daripada Abu Syuraih al-Khuza’ie RA bahawasanya Nabi SAW telah bersabda, “Sesiapa beriman dengan Allah dan Hari Kiamat maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang baik ataupun diam”.

  • Berilah Walau Sedikit Pun
Daripada Abu Hurairah (juga) katanya, sabda Rasulullah SAW, “Wahai perempuan-perempuan muslimat janganlah menghina seorang jiran kepada jiran tetangga yang lain, sekalipun (apa yang diberi itu) berupa kaki kambing”

  • Memelihara Ketenteraman Tetangga Tanda Kesempurnaan Iman
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya nabi SAW bersabda, “Demi Allah, tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman”, lalu ditanya, “Siapa (yang tidak sempurna imannya) wahai Rasulullah?”, jawab baginda, “Iaitu orang yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya”. 
Dalam riwayat muslim “Tidak masuk syurga orang yang tidak mententeramkan jirannya dengan sebab kejahatannya”.

  • Sebaik-baik Jiran Tetangga
Daripada Abu Dzar RA katanya, sabda Rasululah SAW, “Wahai Abu Dzar Apabila kamu merebus daging (membuat sup) perbanyakkanlah airnya (kuahnya) dan hendaklah engkau ingat jiran engkau”. 
Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Dzar juga katanya, “Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah SAW) telah berpesan kepadaku, apabila engkau memasak daging perbanyakkanlah airnya, kemudian lihatlah kaum keluarga jiran engkau dan berilah sebahagian daripadanya dengan cara yang baik”

  • Berbuat BaikTerhadap Jiran
Daripada Ibnu Umar dan Aisyah R.huma, kedua-duanya berkata, sabda Rasulullah, “Jibril sentiasa memesan kepada aku supaya berbaik-baik dengan jiran hingga aku menyangka bahawa Jibril akan menetapkan hukum pusaka antara sesama jiran”. 

  • Perintah Anak Solat
Daripada ‘Amru bin Syu'aib daripada bapanya, daripada datuknya RA katanya, sabda Rasulullah SAW “Perintahkan (ajarlah) anak-anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan rotankan ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka”.

  • Ajari Anak-anak Akhlak Islam
Daripada Abu Hafs ‘Amru bin Abi Salamah  ‘Abdullah bin Abdul Asad anak tiri Rasulullah SAW katanya “Aku seorang kanak-kanak didalam peliharaan Rasulullah SAW dan pada waktu makan tanganku menjemput di sana sini di setiap sudut pinggan maka Rasulullah bersabda, “Wahai anak, bacalah بسم الله (sebutkan nama Allah ketika hendak makan) dan makanlah dengan tangan kananmu dan hendaklah ambil makanan yang hampir dengan kamu. Selepas itu sentiasalah engkau ikut cara makan (yang ditunjuk oleh Rasulullah)”.

  • Perkara yang salah mesti ditegur
Daripada Abu Hurairah RA katanya, al-Hasan R.huma telah mengambil sebiji tamar daripada buah-buah tamar yang yang disedekahkan lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Maka Rasulullah SAW bersabda “Buang (luahkan) tamar itu, tidakkah engkau tahu kita tidak dibolehkan memakan pemberian sedekah?”
Di dalam riwayat lain: “Kita tidak dihalalkan menerima sedeqah”.

  • Dermakan Sebahagian Harta Yang Kamu Sayangi
Daripada Anas RA katanya, Abu Thalhah RA ialah orang Ansar yang paling banyak harta daripada kebun-kebun tamar yang luas. Harta yang paling disukainya ialah kebun tamar Bir Ha’ yang menghadap ke arah masjid (Nabawi). Rasulullah SAW pernah masuk ke kebun itu dan minum airnya yang sedap. Anas berkata, apabila turun ayat yang bermasud, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi” Abu Thalhah pergi menemui Rasulullah dan berkata “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah berfirman yang maksudnya, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi dan sesungguhnya aku sangat sayang kepada kebun tamar Bir Ha’ itu dan aku jadikannya sebagai sedekah pada jalan Allah agar aku mendapat kebaikan (yang dijanjikan Allah) dan sebagai bekalan akhirat disisi Allah SWT. Oleh itu, engkau gunakanlah harta itu mengikut apa yang Allah tunjukkan kepadamu”. Maka jawab Rasulullah SAW, “Ah, harta itu sangat menguntungkan, harta itu sangat menguntungkan, sesungguhnya aku dengar apa yang telah engkau katakan dan aku berpendapat engkau agihkan harta itu kepada kaum kerabat engkau”. Maka Abu Thalhah berkata, “Aku akan lakukan (seperti yang engkau suruh) wahai Rasulullah SAW”. Lalu Abu Thalhah membahagikan harta tersebut kepada kaum keluarga dan sepupunya”.

  • Tangan Yang Diatas Lebih Baik Dari Tangan Dibawah
Daripadanya (Abu Hurairah RA) daripada Nabi SAW sabdanya,  “Tangan yang di atas (memberi) itu adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (meminta-minta) dan mulakan pemberian itu kepada mereka yang dibawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah adalah daripada orang yang berada (tidak memerlukan bantuan). Sesiapa yang dapat menahan diri daripada meminta-minta (walaupun dia miskin) maka Allah akan mencukupkabn keperluannya dan sesiapa yang merasa cukup untuk diri dan keluarganya maka Allah akan memberi kekayaan kepadanya”. 

  • Si Pemurah dan Si Bakhil
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda, “Tidak berpagi-pagi seseorang itu melainkan turun kepadanya 2 malaikat lalu seorang daripada kedua-duanya dengan berkata, “Ya Allah, berikan ganti kepada orang yang berbelanja”, dan seorang lagi pula berdoa dengan katanya, “Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil”.

  • Jangan Cuai Sara Keluarga
Daripada Abdullah bin ‘Amru al-‘As R.huma katanya, sabda Rasulullah SAW, “Cukuplah dosa seseorang itu dengan mencuaikan tanggungjawabnya menyara keluarganya.

  • Berbelanja di Jalan Allah
Daripada Abu Abdullah (dikatakan Abu Abdul Rahman) Tsauban bin Bujdad hamba yang dimerdekakan Rasulullah SAW katanya, sanda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik wang yang dibelanjakan oleh seseorang ialah wang yang dibelanjakan untuk menyara keluarganya, wang yang dibelanjakan untuk binatang tunggangan pada jalan Allah dan wang yang dibelanjakan untuk kawan-kawannya di jalan Allah”. 

  • Menyara Keluarga Lebih Afdhal
Daripada Abu Hurairah RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Antara wang yang engkau belanjakan ke jalan Allah, wang yang engkau belanjakan untuk hamba sahaya, wang yang engkau sedekahkan kepada orang-orang miskn dan wang yang engkau belanjakan untuk kaum keluargamu, maka pahala yang paling besar ialah wang yang dibelanjakan untuk menyara kaum keluargamu”. 

  • Jangan Sakiti Suamimu
Daripada Mu’az bin Jabal RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Tidak menyakiti seseorang perempuan akan suaminya di dunia melainkan bersumpahlah isteri di akhirat (bidadari) celakalah engkau, “Jangan engkau menyakiti”. Sesungguhnya dia hanya sebentar sahaja bersamamu di dunia ini kemudian dia akan berpisah daripadamu untuk kembali kepada kami”.

  • Wanita Adalah Ujian Kepada Lelaki
Daripada Usamah bin Zais R.huma dari Nabi SAW sabdanya, “Aku tidak tinggalkan selepas kematianku satu ujian kepada kaum lelaki yang lebih mencabar melainkan ujian dengan perempuan”. 

  • Redha Suami Membawa Ke Syurga
Daripada Ummu Salamah R.ha katanya, sabda Rasulullah SAW, “Mana-mana wanita yang meninggal dunia sedang suaminya redha terhadapnya nescaya dia akan masuk ke syurga”.

  • Tingginya Darjat Suami Disisi Isteri
Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Sekiranya boleh aku menyuruh seorang sujud kepada seorang nescaya akan aku suruh kaum wanita (isteri) supaya sujud kepada suami mereka”.

  • Tunai Hajat Suami Ikut Kemampuan
Daripada Abu Ali Thalki bin Ali RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda” Apabila suami memanggil isterinya untuk menunaikan sesuatu hajatnya maka hendaklah dia segera datang sekalipun dia sedang memasak”.

  • Tanggungjawab Isteri Terhadap Suami
Daripada Abu Hurairah RA juga bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Tidak harus bagi isteri berpuasa semasa suami ada bersamanya, melainkan dengan keizinan dan juga (isteri) tidak boleh membenarkan sesiapapun memasuki rumahnya melainkan dengan izin suaminya”.

  • Kita Semua Adalah Pemimpin
Daripada Ibnu Umar R.huma daripada Nabi SAW sabdanya, “Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, ketua adalah pemimpin, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya”

  • Nikmat dunia yang paling baik
Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Dunia adalah keseronokan dan sebaik-baik keseronokan dunia ialah perempuan (isteri) yang solehah (baik)”.

  • Orang Paling Sempurna Imannya
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik kamu ialah mereka yang paling baik (pergaulan) dengan isterinya”.

  • Hak Isteri Terhadap Suami
Daripada Mu’awiyah bin Haidah RA katanya aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri terhadap suaminya?“ Jawab baginda, “Hendaklah engkau memberi makan kepadanya apabila engkau makan dan memberi pakaian apabila engkau berpakaian dan jangan engkau memukul muka dan jangan engkau menghinanya dan janganlah engkau asingkan (ketika nusyuz) melainkan di dalam rumah”. 

  • Kedamaian Asas Kebahagian Rumahtangga
Daripada Abu hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Tidak boleh seseorang mukmin lelaki membenci terhadap seseorang mukminah perempuan. Jika dia tidak suka suatu kelakuannya (boleh jadi) dia suka perbuatan yang lain atau perbuatan yang lain daripada yang dibencinya itu”.

  • Jangan ketawa dalam hal yang tidak munasabah
Daripada Abdullah bin Zam’ah RA bahawasanya beliau mendengar Nabi SAW berkhutbah dan baginda menyebut unta (yang menjadi mukjizat Nabi Soleh AS) dan orang yang menyembelihnya, maka Rasulullah SAW bersabda, “(membacakan firman Allah yang bermaksud), “Ketika orang yang paling jahat antara mereka menerima perintah daripada mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat). Seorang lelaki yang gagah lagi jahat dan berpengaruh dalam qabilahnya segera untuk membunuh unta itu. Kemudian baginda menyebut (perihal) orang-orang yang memberi beberapa nasihat tentang mereka”. Lalu kemudian baginda bersabda, “Ada diantara kamu yang sengaja memukul isterinya seperti memukul hamba abdi kemudian menyetubuhinya pada akhir hari itu”. Kemudia baginda menasihati mereka mengenai ketawa disebabkan kentut lalu baginda bersabda, “Mengapa ada antara kamu yang ketawa dengan perbuatannya sendiri?”.

  • Wahai lelaki, lindungilah wanita..
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “Hendaklah kamu saling meminta nasihat tentang perkara-perkara kebaikan kepada kaum wanita kerana sesungguhnya kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika kamu membetulkan dengan kekerasan nescaya ia akan patah, jika ditinggalkan (dibiarkan tanpa nasihat) nescaya kekal ia dalam keadaan bengkok maka saling menasihatilah dengan penuh kesabaran dan berlemah lembut”.

  • Hak Anak Yatim dan Orang Perempuan
Daripada Abi Syuraih Khuwailid bin Amru RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Ya Allah Sesungguhnya aku sangat mementingkan hak dua orang yang lemah iaitu hak anak yatim dan orang perempuan”

  • Anak Perisai Api Neraka
Daripada Aisyah R.ha katanya, “Datang kerumahku seorang perempuan meminta (makanan), tidak ada sesuatu disisiku melainkan sebiji kurma lalu aku beri kepadanya”. Maka dia pun membahagi sebiji kurma tadi kepada dua orang anaknya dan dia sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun keluar (daripada rumah Aisyah). Setelah Nabi SAW datang kepada kami lalu aku pun memberitahunya (peristiwa tersebut), maka baginda bersabda, “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan ini dengan sesuatu lalu dia melayan (memelihara) mereka dengan baik adalah mereka menjadi penghalang daripada api neraka”.

Daripada Anas RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memelihara dua anak gadis sehingga baligh kedua-duanya nescaya dia datang bersama aku pada hari kiamat seperti ini sambil menunjukkan (merapatkan) dua jarinya”.

  • Dua Golongan Wajib Dibantu
Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Orang yang berusaha membantu janda dan orang miskin seolah-olah berjuang dijalan Allah” dan aku kira baginda telah bersabda, “Seperti orang yang bersembahyang malam tetapi tidak berasa letih dan seperti orang yang berpuasa yang tidak berbuka (tidak rasa lapar)”. 

0 000 org yg bertuah:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Design By Nurul Aini | For ~~ 2013 ©| Resolution: 1366 x 768px | Best View: Google Chrome