Saya merasa kagum melihat usaha murni seorang warga Malaysia melakukan kerja-kerja melupuskan al-Quran. Insan tersebut adalah Rahmat Mahdan dari (Percetakan Saufi). Dokumentari mengenai proses pengebumian al-Quran telah disiarkan dalam slot Majalah 3 pada 6 November 2010.
Sebelum berbicara mengenai kaedah pelupusan al-Quran, terlebih dahulu eloklah kita meneliti takrif atau definisi al-Quran :
Berdasarkan takrif tersebut, al-Quran bukanlah sekadar tulisan-tulisan di mushaf, poster, kitab-kitab, buku agama, buku tulis, kertas ujian, akhbar, majalah, risalah, poster kertas/kain/plastik, logam, kayu, kaca, seramik, cakera padat dan bahan-bahan lain.
Ianya perlu dipelihara walaupun apabila sudah rosak atau tidak boleh digunakan lagi. Firman Allah S.W.T :
HUKUM MEMULIAKAN AL-QURAN
Umat Islam telah bersepakat mengatakan bahawa WAJIB memuliakan, mengagungkan dan memelihara Kitab Suci al-Quran. Baik dari segi memelihara kesuciannya daripada kotoran ataupun memelihara kemuliaannya daripada sebarang perubahan, penambahan atau sebarang perbuatan yang membawa kepada penghinaannya.
Begitu juga dari segi menjaga adab-adab ketika membacanya, menulis, membawa, menyentuh, meletak dan menyimpan al-Quran dan menjauhkannya daripada terdedah kepada perkara yang hina umpamanya meletakkannya di tempat-tempat yang tidak munasabah seperti tempat kotor, bersepah di jalan-jalan dan sebagainya.
Setiap Muslim WAJIB memelihara kitab al-Quran dengan sebaik-baiknya. Kitab ini tidak boleh dibuang merata-rata, dikoyak atau diletak pada tempat yang menjejaskan kesuciannya. Sebaliknya hendaklah dihormati, disimpan pada tempat-tempat yang suci dan terpelihara.
Al-Quran tidak boleh disentuh oleh orang yang berhadas. Orang kafir tidak dianggap suci dalam konteks menyentuh dan membawa al-Quran.
Menghormati al-Quran bukan lagi suatu pilihan yang dilakukan atas kehendak peribadi, tetapi kewajipan itu dikuatkuasakan oleh kehendak masyarakat terhadap semua orang Islam. Pada masa yang sama pula, kewajipan ini dianggap sebahagian daripada budaya bangsa Melayu.
BUDAYA BANGSA MELAYU
Budaya bangsa ini mengajar anak-anak menghormati al-Quran, meletaknya dengan perlahan di atas papan rihal ketika mengaji, membalutnya dengan kain suci, mengucupnya tatkala mengambil dan menyimpan. Budaya ini mengajar bahawa al-Quran tidak boleh diletak pada tempat yang sama parasnya dengan tapak kaki, kaki pula tidak harus dihulur ke arah al-Quran.
Menulis al-Quran dengan huruf rumi juga dianggap suatu penghinaan. Majalah-majalah yang memakai ayat al-Quran juga sepatutnya tidak dibenarkan menulis ayat-ayat al-Quran sesuka hati. Sudah tiba masanya, pihak-pihak yang bertanggungjawab menguatkuasakan aturan menulis al-Quran, seperti juga aturan mencetak al-Quran yang dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sepanjang pengetahuan saya, belum ada suatu peraturan di negara ini melarang orang bukan Islam menjamah atau menyentuh kitab suci al-Quran. Mereka boleh menyentuh, membaca, menjual dan membelinya, sekalipun sentiviti umat Islam begitu tersentuh apabila mereka memegang dan menyentuhnya dengan cara yang tidak sopan.
Kedai-kedai fotostat bukan Islam sepatutnya tidak dibawa al-Quran untuk disalin atau dibuat panduan padanya kerana jika ada helaian yang rosak, nescaya dimasukkan ke dalam bakul sampah atau dikhuatiri diletaknya dalam bakul yang tidak sesuai dengan kesuciannya. Sepatutnya jika ada yang tidak layak digunakan hendaklah ia dimusnahkan dengan cara yang terhormat.
Penyediaan al-Quran di hotel-hotel besar juga perlu dikaji semula baik buruknya, kerana diberitakan ada penginap-penginap hotel yang tidak peka dengan kesucian al-Quran, lalu mengoyak dan membuangnya, sama ada kerana jahil atau buruk hati terhadapnya. Hal ini sepatutnya tidak berlaku. Ini tidak pula menafikan niat suci pihak-pihak yang menyediakan al-Quran itu untuk bacaan penginap-penginap hotel.
KAEDAH PELUPUSAN AL_QURAN
Ulama-ulama Islam menyebutkan kaedah melupuskan al-Quran yang tidak mampu lagi disimpan dengan baik berkata: Jika al-Quran tidak mampu lagi disimpan atau dipelihara kesuciannya dengan apa jua cara, misalnya naskhah yang tersalah cetak di kilang-kilang cetak, atau kedai-kedai fotostat dan sebagainya, hendaklah direndam bahan itu ke dalam air yang bersih. Air basuhannya hendaklah dibuang pada tempat-tempat yang terhormat, seperti di laut atau sungai-sungai besar.
Jika tulisan itu menggunakan cecair dakwat yang bermutu tinggi, kira-kira tidak mudah hilang dengan dibasuh, maka haruslah dibakar dengan niat ikhlas kerana memelihara kehormatannya daripada dihina atau dibiarkan berada pada tempat-tempat kotor, kemudian debunya dibuang atau ditanam pada tempat-tempat yang tidak terdedah kepada tapak-tapak kaki manusia atau haiwan.
Tentang al-Quran yang tidak memakai rasm Uthmani, jika benar ada arahan rasmi daripada jabatan agama supaya semua naskhahnya ditukar kepada rasm Uthmani, saya fikir jabatan itu mempunyai jawapannya sendiri terhadap naskhah-naskhah al-Quran yang terdahulu, sama ada melupus atau menyimpannya, kerana al-Quran itu memang boleh dipakai. Pemilihan resam Uthmani hanya untuk pelarasan bagi maksud bacaannya sahaja.
Jika tidak ada cadangan untuk menyimpan al-Quran yang resamnya bukan Uthmani, dan tidak ada jalan selain melupuskannya, saya cadangkan sebelum naskhah itu dibakar, berhubung terlebih dahulu dengan arkib atau muzium negara, supaya bahan-bahan berharga itu diserah kepadanya, atau diberi kepada mana-mana pihak yang berminat menyimpannya sebagai bahan koleksi.
Sesungguhnya bahan ini amat berharga dan sepatutnya disayangi. Saya percaya bahan ini tidak mudah diperoleh lagi. Tetapi sayang, ramai orang tidak menghargainya. Mereka lebih menyayangi barang-barang purba seperti mangkuk, pinggan, keris dan lembing untuk disimpan.
Umat Islam hendaklah bertanggungjawab memelihara dan menjaganya, tidak boleh dibiar al-Quran terhina, ia hendaklah diletakkan dalam sarung kemudian simpan pada tempat yang sesuai dengan kesuciannya, supaya tidak diterbang angin atau diambil kanak-kanak yang tidak faham kedudukannya.
Umat Islam wajib memelihara kitab ini dengan apa juga cara. Jika tidak dapat dipelihara lagi, hendaklah disimpan dalam peti yang tidak boleh dibuka lagi, atau dibasuh dengan air yang bersih, supaya tulisannya hilang dan airnya dibuang pada tempat yang juga bersih. Jika tiada pilihan lain, hantarkan kepada arkib negara untuk disimpan secara profesional.
Menurut Dr. Abdul Halim Mahmud, jika Mushaf al-Quran itu sudah koyak dan tidak boleh dibaca lagi, pilihan terbaik tidak ada selain dibakar, maka haruslah dibakar sebagai jalan pilihan terakhir (Fatawa Abdul Halim Mahmud, 1/245).
Menurut Syeikh Atiyya Saqar, salah seorang ahli Majlis Fatwa al-Azhar : Membakar al-Quran diharuskan, jika tujuannya menyelamatkan dari terhina. Beliau memberi alasan bahawa Saidina Uthman pernah mengeluarkan arahan supaya membakar semua al-Quran yang ada dalam simpanan sesetengah sahabat, setelah al-Quran selesai ditulis dalam satu naskhah. Menurut sesetengah ulama dibakar lebih baik daripada dibasuh.
PENUTUP
Akhirnya, saya mencadangkan kepada individu atau organisasi yang ingin melupuskan al-Quran, kini anda tidak perlu bersusah payah untuk melaksanakannya. Apa yang perlu dilakukan ialah menghantarnya ke Pusat Pelupusan Al-Quran yang terletak di Batu 10 Cheras (bersebelahan masjid kuning)
Lihat panduan peta di bawah :
copy dari: http://www.imranshamsir.com/pengumuman/kaedah-pelupusan-al-quran/
0 000 org yg bertuah:
Post a Comment